Adapun terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj
adalah kerana bumi merasa bangga dengan langit. Berkata dia kepada langit,
"Hai langit, aku lebih baik dari
kamu kerana Allah S.W.T. telah menghiaskan aku dengan berbagai-bagai negara,
beberapa laut, sungai-sungai, tanam-anaman, beberapa gunung dan lain-lain."
Berkata langit, "Hai bumi, aku juga
lebih elok dari kamu kerana matahari, bulan, bintang-bintang, beberapa falah,
buruj, 'arasy, kursi dan syurga ada
padaku."
Berkata bumi, "Hai langit, ditempatku
ada rumah yang dikunjungi dan untuk bertawaf para nabi, para utusan dan arwah
para wali dan solihin (orang-orang yang
baik)."
Bumi berkata lagi, "Hai langit,
sesungguhnya pemimpin para nabi dan utusan bahkan sebagai penutup para nabi dan
kekasih Allah seru sekalian alam,
seutama-utamanya segala yang wujud serta kepadanya penghormatan yang paling
sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia menjalankan syari'atnya juga di tempatku."
Langit tidak dapat berkata apa-apa, apabila
bumi berkata demikian. Langit mendiamkan diri dan dia mengadap Allah S.W.T
dengan berkata, "Ya Allah, Engkau
telah mengabulkan permintaan orang yang tertimpa bahaya, apabila mereka berdoa
kepada Engkau. Aku tidak dapat menjawab
soalan bumi, oleh itu aku minta kepada-Mu ya Allah supaya Muhammad
Engkau dinaikkan kepadaku (langit) sehingga aku menjadi mulia dengan kebagusannya dan berbangga."
Lalu Allah S.W.T mengabulkan permintaan
langit, kemudian Allah S.W.T memberi wahyu kepada Jibrail A.S pada malam
tanggal 27 Rejab, "Janganlah engkau
(Jibrail) bertasbih pada malam ini dan engkau 'Izrail jangan engkau mencabut
nyawa pada malam ini."
Jibrail A.S. bertanya, " Ya Allah,
apakah kiamat telah sampai?"
Allah S.W.T berfirman, maksudnya,
"Tidak, wahai Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke Syurga dan ambillah buraq
dan terus pergi kepada Muhammad dengan
buraq itu."
Kemudian Jibrail A.S. pun pergi dan dia
melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di taman Syurga dan di wajah
masing-masing terdapat nama Muhammad. Di
antara 40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada seekor buraq yang sedang
menangis bercucuran air matanya. Jibrail
A.S. menghampiri buraq itu lalu bertanya, "Mengapa engkau menangis,
ya buraq?"
Berkata buraq, "Ya Jibrail, sesungguhnya
aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah
tertanam dalam hatiku dan aku sesudah
itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku
laksana dibakar oleh api kerinduan."
Berkata Jibrail A.S., "Aku akan
menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu."
Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan
kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W.
Wallahu'alam.
Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah
S.A.W dalam perjalanan Israk dan Mikraj.
Geen opmerkings nie:
Plaas 'n opmerking